SERAH RUMAH BN 100

SERAH RUMAH BN 100

574

 

BESUT 30 Jan. – Mereka tidak mampu mengungkapkan dengan kata-kata, namun dari `bahasa’ gerak tangan dan riak wajah cukup untuk menggambarkan keterujaan dan kegembiraan sewaktu memegang kunci rumah.

Rafizal Ahmad, 43, dan isterinya Rohayu Awang,45, merupakan pasangan bisu yang mulai mendiami rumah milik mereka di Kampung Bukit Kenak dekat sini semalam.

Mereka merupakan penerima ke-100 rumah percuma di bawah projek Rumah Komuniti yang dilancarkan awal tahun lalu, sekali gus melengkapkan sasaran jumlah yang ditetapkan.

Rafizal tidak pernah membayangkan bahawa dia akan dapat menyediakan rumah sendiri hasil daripada kerjanya sebagai pemotong ayam yang sekadar cukup menampung keperluan harian bersama empat orang

anak dan bayaran sewa rumah RM250 sebulan.

“Saya rasa syukur dan sangat gembira. Rasa sangat lega. Bayaran sewa rumah selama ini boleh digunakan untuk keperluan keluarga,”ujarnya melalui salah seorang anaknya ketika ditemui hari ini.

Penyerahan kunci dilakukan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh. Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Datuk Muhammad Pehimi Yusof; ADUN Hulu Besut, Nawi

Mohamad; ADUN Kota Putera, Mohd Mahdi Musa dan Pengarah Kolej Komuniti Kuala Terengganu, Wan Ayub Ahmad.

Projek Rumah Komuniti cetusan idea Idris digerakkan melalui tanggungjawab sosial korporat di bawah konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan penglibatan Kolej Komuniti dan Politikenik, selain kontraktor tempatan.

Disasarkan untuk diagihkan secara percuma kepada golongan miskin yang dikenal pasti layak, rumah tiga bilik berkeluasan 600 kaki persegi itu menelan kos RM20,000, dan mampu disiapkan dalam lingkungan dua hingga empat minggu setiap unit.

Idris berkata, kemampuan menyiapkan rumah sebagaimana yang disasarkan membuktikan keberkesanaan penggunaan teknologi baharu di samping komitmen tinggi oleh warga Kolej Komuniti dan Politeknik.

“Dengan semangat kesukarelaan, para pelajar yang dibantu oleh pensyarah masing-masing dapat melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan, malah menjadi medan latihan dan bekalan buat mereka untuk terlibat dalam industri ini.

“Kontraktor juga hanya menggunakan lima orang pekerja untuk menyiapkan rumah tersebut dalam tempoh dua minggu dengan menggunakan teknologi yang diterapkan oleh Kolej Komuniti dan Politeknik,”ujarnya kepada pemberita selepas majlis itu semalam.

Beliau berkata, hasil kejayaan itu, untuk tahun ini pihaknya merancang untuk membina 100 buah lagi rumah berkonsep kesukarelaan itu yang dijangka dapat disiapkan dalam tempoh lapan bulan sahaja. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/komuniti/pasangan-bisu-terima-rumah-komuniti-ke-100-1.438364#ixzz4jr8AMl5Q
© Utusan Melayu (M) Bhd